Zidane janji untuk kekal harapkan bintang Madrid

Oleh Staff Writer 17 Mac 2019 3985
Zidane janji untuk kekal harapkan bintang Madrid
REAL MADRID 2 CELTA VIGO 0

Zinedine Zidane mengulangi bahawa Real Madrid kini akan bermula semula sebagai pasukan baru dalam kepulangannya selaku ketua jurulatih yang diraikan dengan kemenangan 2-0 ke atas Celta Vigo dalam saingan LaLiga di Santiago Bernabeu, malam tadi.


Isco dan Gareth Bale meraikan kepulangan mereka ke dalam kesebelasan utama pasukan dengan gol dalam separuh masa kedua ketika Keylor Navas dan Marcello turut mencuri tumpuan walaupun kerap disisihkan sebelum ini

Navas sentiasa menjadi pilihan kedua sepanjang musim ini selepas ketibaan penjaga gol Belgium, Thibaut Courtois, daripada Chelsea manakala Sergio Reguilon pula kerap diberikan tugasan penting yang menyisihkan Marcelo sepanjang kelolaan bekas ketua jurulatih, Santiago Solari.

"Tiada siapa di sini atau di mana-mana sahaja dapat menafikan apa yang barisan pemain ini telah lakukan.

"Saya mempunyai skuad dengan 23 ke 25 pemain dan saya akan mengharapkan mereka semua," kata Zidane, yang memenangi tiga kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah secara berturut-turut sebelum meletakkan jawatan musim lalu.

"Thibaut dan Reguilon telah beraksi baik sehingga kini, begitu juga pemain lain.

"Namun, pada masa sama, Keylor beraksi amat baik. Marcelo dan Isco juga.

"Saya harus bergantung harap kepada barisan pemain ini kerana mereka adalah pemain yang baik.

"Saya akan bergantung kepada mereka semua.

"Saya mengenali perwatakan setiap pemain, mereka telah membuktikannya sebelum ini.

"Saya akan bergantung kepada mereka semua.

"Mereka telah membuktikannya hari ini, pemain yang kurang beraksi seperti Keylor, Marcelo, Isco, Marco (Asensio) dan semua mereka," katanya.

Dengan suasana positif yang mengalu-alukan kepulangan wira mereka itu di Santiago Bernabeu, Zidane berasakan pasukannya kini sudah bersedia untuk kembali bersaing dalam LaLiga selepas menewaskan pelawat yang sedang bergelut di zon penyingkiran itu.

"Perasaannya kini amat positif. Kami memperoleh keputusan yang baik akhirnya.

"Itulah yang kami cari dan ia adalah keputusan yang penting.

"Kami tidak bermula baik dalam perlawanan ini, ia adalah perkara normal.

"Kami perlu lebih bersabar dan aksi pada penghujung babak pertama menjadi lebih baik.

"Aksi dalam babak kedua jauh lebih baik, jadi saya amat-amat gembira.

"Apa yang saya paling gemari adalah kami melakukan lebih daripada 20 hantaran lintang dan pada akhirnya kami berjaya menyudahkan salah satu daripadanya.

"Ia memberikan kami peluang untuk menjaringkan gol dan kami berjaya melakukannya," tambahnya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen