REAL MADRID 1 GREMIO 0

Zinedine Zidane bercita-cita tinggi dengan menyasarkan enam kejuaraan selepas skuadnya, Real Madrid, memenangi trofi ketiga musim ini dengan mengalahkan Gremio 1-0 dalam perlawanan akhir Piala Dunia Kelab di Abu Dhabi, awal pagi tadi.


Madrid kelihatan selesa menentang juara Amerika Selatan itu dengan mendominasi perlawanan dari awal hingga akhir.

Cristiano Ronaldo akhirnya menghadirkan perbezaan, dengan menjaringkan gol menerusi sepakan percuma pada babak kedua sambil Gremio pula gagal mencemaskan Keylor Navas di gawang Madrid.

Gelaran itu menyaksikan mereka menambah kejayaan dalam Piala Super UEFA dan Supercopa Sepanyol awal musim ini dan Zidane masih mengharapkan kemenangan dalam Copa del Rey, La Liga dan Liga Juara-Juara Eropah.

"Kami mempunyai impian 'sextuple' (enam gelaran) akan berlaku," kata Zidane kepada wartawan.

"Kami telah mencapai gelaran ketiga musim ini, kelima tahun ini, dan ia penting untuk kami.

"Kami akan teruskan, kami mesti menikmati trofi ini, berehat dan berfikir lagi sepanjang musim ini. Kami gembira dan kami perlu mengucapkan tahniah kepada pemain.

"Kami bermain dengan baik dan kami bermula dengan intensiti. Apabila pemain mula bermain, ia rumit untuk lawan. Kami mempamerkan prestasi yang hebat," katanya.