Bekas pengendali Real Madrid dan pemenang Liga Juara-Juara Eropah, Zinedine Zidane, mendedahkan dia bakal kembali dalam karier kejurulatihan tidak lama lagi.

Zidane dikaitkan dengan pasukan gergasi Liga Perdana Inggeris, Manchester United, selepas meninggalkan Madrid pada penghujung musim lalu.

Pengendali berusia 46 tahun itu memacu Los Blancos memenangi tiga trofi Liga Juara-Juara Eropah selama tiga tahun berturut-turut, namun meninggalkan pasukan beberapa hari kemudian.

Sejak itu, dia muncul sebagai sasaran United tatkala pengurus ketika ini, Jose Mourinho, berada di bawah tekanan.

Ditanya mengenai masa depannya, Zidane memberitahu TVE: "Saya pasti akan kembali mengurus pasukan tidak lama lagi.

"Ia perkara yang saya suka dan telah saya lakukan sepanjang hidup."

Zidane menggantikan Rafel Benitez pada 2016 dan membawa Madrid meraih tiga trofi Liga Juara-Juara, dua trofi Piala Dunia Kelab FIFA serta memenangi Piala Super Eropah, LaLiga serta Piala Super Sepanyol 2017.

Mourinho dikatakan berada dalam keadaan tidak selamat selepas melalui dua kekalahan daripada empat aksi liga dan dia juga dilaporkan berang dengan naib pengerusi eksekutif kelab, Ed Woodward, akibat kurang aktif ketika jendela perpindahan dibuka.