Pengurus Real Madrid, Zinedine Zidane, berharap Gareth Bale dan James Rodriguez akan kembali cergas dan dapat diturunkan selepas waktu rehat antarabangsa.

Kecederaan otot mengakibatkan kedua-dua pemain itu terlepas aksi LaLiga menentang Eibar awal pagi esok walaupun mendapat panggilan untuk memperkuatkan skuad kebangsaan masing-masing.

Pemain sayap Wales, Bale, tidak pernah beraksi sejak perlawanan pusingan kelayakan Euro 2020 bulan lalu manakala James turut terlepas tiga perlawanan terakhir Madrid.

Dua pemain itu telah memulakan program pemulihan individu tetapi tidak akan disenaraikan sehingga mereka dapat menyertai latihan penuh bersama rakan sepasukan yang lain.

"Mereka belum cukup cergas untuk diturunkan," kata Zidane dalam sidang media sebelum perlawanan.

"Jika mereka mahu pergi (untuk tugasan antarabangsa), mereka akan pergi.

"Mereka mempunyai lima atau enam hari untuk melihat sama ada mereka cukup cergas untuk mewakili negara mereka.

"Mereka belum cukup cergas untuk diturunkan Sabtu ini (awal pagi esok).

"Mereka masih belum berlatih bersama pasukan. Mereka ada melakukan sedikit latihan tetapi bukan seperti rakan sepasukan yang lain.

"Jika pemain tidak berlatih bersama rakan sepasukan, dia tidak dapat diturunkan.

"Mereka masih cedera buat masa ini," katanya.

Kecederaan Bale itu berlaku dalam perlawanan yang sama di mana pemain tengah Croatia, Luka Modric, mengalami bengkak di otot pahanya.

Pemain berusia 34 tahun itu terlepas dua perlawanan di peringkat kelab dan membuatkan Zidane berasa gusar untuk melepaskan pemainnya bagi tugasan antarabangsa.

"Harap-harap tiada apa yang akan terjadi tetapi ia tidak mustahil.

"Benar, dalam panggilan sebelum ini, pemain-pemain kami cedera.

"Harap-harap pemain saya dapat ke pasukan kebangsaan mereka, beraksi dan tidak mengalami kecederaan, dan semua dapat pulang ke sini dengan cergas dan dapat beraksi," tambahnya.

Di sebalik perbincangan mengenai Bale dan James, Zidane turut diminta memberikan penjelasan mengenai dakwaannya bahawa bintang Paris Saint-Germain (PSG), Kylian Mbappe, memasang impian untuk menyarung jersi Madrid.

Pengurus Los Blancos itu berkata dia hanya mengulangi apa yang dikatakan Mbappe mengenai impiannya.

Komen itu mengundang rasa tidak senang Pengarah Kesukanan PSG, Leonardo, yang meminta spekulasi mengenai Mbappe itu dihentikan serta-merta.

Zidane berkata: "Dia mempunyai hak untuk menyampaikan pandangannya dan apabila saya diajukan soalan, saya juga boleh memberikan pandangan saya.

"Apa yang saya katakan ialah apa yang disampaikan (pemain itu), impian Mbappe adalah untuk menyarung jersi Real Madrid satu hari nanti.

"Sejujurnya tiada apa yang lebih daripada itu," katanya lagi.