Penyerang negara, Zaquan Adha Abdul Razak, menegaskan kelibatnya bersama lapan pemain lain dalam skuad kebangsaan bukan atas dasar pilihan kedua tetapi mereka adalah kelompok terbaik yang Malaysia miliki ketika ini.

Hakikatnya, sembilan nama baru yang dipanggil jurulatih negara, Tan Cheng Hoe, semalam mempunyai kredibiliti tersendiri dan mereka bersedia pada bila-bila masa untuk berjuang demi lencana di dada.

Sebagai contoh, Zaquan sanggup membatalkan percutian bersama keluarga sebaik sahaja namanya dipanggil untuk menyarung jersi Harimau Malaya.

Tiada istilah pilihan kedua baginya dan pemain skuad Kuala Lumpur itu bertekad untuk membalas kepercayaan yang diberikan oleh barisan kejurulatihan negara menjelang pertemuan dengan Lubnan, Selasa ini.

"Setiap pemain dalam Liga Malaysia menyimpan hasrat untuk menyarung jersi kebangsaan, jadi ini adalah satu penghormatan buat semua yang dipanggil.

"Bagi saya, tiada istilah pilihan pertama atau kedua kerana setiap nama yang dipanggil adalah penghormatan yang terbaik untuk pemain-pemain," katanya.

Penampilan Zaquan bersama skuad negara sejak 2009 sering dilihat tidak bernasib baik ekoran episod kecederaan yang kerap berulang, namun selepas 10 tahun, dia mengharapkan tiada lagi badi menghantuinya dan hasrat untuk mengharumkan nama negara diharap dapat ditunaikan ketika bertemu Lubnan.

"Kita tidak boleh mengelak daripada masalah kecederaan tetapi saya mengharapkan nasib yang baik apabila bermain di bawah kendalian Tan Cheng Hoe.

"Sudah lama saya berkeinginan untuk kembali beraksi buat Harimau Malaya," ujarnya.