Kapten Harimau Malaya, Zaquan Adha Abdul Radzak, bertekad untuk memacu pasukannya bangkit daripada kekalahan dalam pertemuan hidup mati menentang Myanmar bagi saingan Piala Suzuki AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

Zaquan tidak diturunkan dalam perlawanan menentang Vietnam di Hanoi, Jumaat lalu, dipercayai atas faktor taktikal dan ketiadaan penyerang berusia 31 tahun itu tampak memberi kesan apabila skuad negara tewas 0-2 kepada lawan.

Namun, Zaquan tampak enggan sekali lagi memanaskan bangku simpanan apabila bertekad untuk membantu skuad negara keluar sebagai pemenang dalam pertemuan Sabtu ini.

"Kami perlu menganggap perlawanan menentang Myanmar itu sebagai penentuan hidup dan mati.

"Kami tiada pilihan selain menang dalam perlawanan itu dan setiap pemain perlu memberikan aksi terbaik di laman sendiri," katanya.

Zaquan juga antara pemain negara yang terpaksa menelan kepahitan episod duka skuad Harimau Malaya dalam kempen Piala Suzuki AFF 2016.

Dalam saingan dua tahun lalu, Harimau Malaya tersingkir daripada kejohanan selepas tewas 0-1 kepada tuan rumah, Myanmar, dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan di Stadium Thuwunna, Yangon.

"Saya pernah melalui kekecewaan itu sebelum ini dan saya mengharapkan ia tidak berulang.

"Jika saya diberikan peluang untuk beraksi, saya akan berusaha sehabis baik bagi memastikan kemenangan buat skuad negara," katanya lagi.