Ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, membuat kejutan apabila menggugurkan 11 pemain, termasuk kapten, Zaquan Adha Abdul Radzak, daripada menyertai kem latihan sebagai persediaan menghadapi kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan media hari ini berkata jurulatih berusia 51 tahun itu mengekalkan 14 daripada 25 pemain yang dipanggil untuk kem latihan pusat Piala Airmarine 2019.

Selain penyerang Kedah itu, tiga lagi pemain skuad naib juara Piala AFF 2018, iaitu penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat (Melaka United), Nazirul Naim Che Hashim (Perak) dan Ahmad Hazwan Bakri (Johor Darul Ta’zim) turut digugurkan.

Tujuh lagi pemain yang digugurkan adalah Rizal Ghazali (Kedah), Abdul Latiff Suhaimi (Selangor), Hadin Azman (Felda United), S. Kumaahran (JDT II), Hafiz Ramdan (PKNP FC), Firdaus Saiyadi (Perak) dan Nicholas Swirad (PKNS FC).

Sebagai ganti, Cheng Hoe memanggil enam pemain yang terlibat dalam kempen Kelayakan Kejohanan AFC B-23 2020, Mac lalu, yang terdiri daripada empat pemain JDT –- Safawi Rasid, Akhyar Rashid, Syamer Kutty Abba dan Dominic Tan serta Syahmi Safari (Selangor) selain Faisal Abdul Halim (Pahang).

Turut disenaraikan kembali selepas tiada dalam skuad Piala Airmarine 2019 adalah penjaga gol, Farizal Marlias, Adam Nor Azlin dan Syafiq Ahmad (JDT) dan Shahrel Fikri Md Fauzi (Perak).

Dua muka baru yang dipanggil bagi melengkapkan senarai 26 pemain ke kem latihan pusat yang akan bermula 27 Mei ini ialah pemain berdarah campuran JDT, iaitu La’Vere Corbin-Ong dan Rodney Celvin Akwensivie (PKNS FC).

Skuad Harimau Malaya yang menduduki ranking ke-168 dunia akan menentang Nepal (161) dalam satu aksi persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, jam 10 malam, 2 Jun ini.

Daripada perlawanan itu, tiga pemain akan digugurkan bagi memuktamadkan senarai akhir 23 pemain yang akan menghadapi Timor Leste pada 7 Jun dan aksi timbal balik pada 11 Jun, dengan kedua-dua perlawanan akan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Jika mengatasi Timor Leste, skuad Harimau Malaya akan layak ke Pusingan 2, Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang membabitkan 40 pasukan terbaik Asia.

Lima pasukan, yang akan diundi dalam lapan kumpulan, akan bersaing selama sembilan bulan untuk 10 perlawanan, dari 5 September 2019 hingga 9 Jun 2020.

-- BERNAMA