Pemain import UKM FC, Milad Zanidpour, melaungkan amaran betapa mereka belum mahu mengibarkan bendera putih, sebaliknya akan berusaha bangkit merebut kejuaraan Piala Cabaran menjelang aksi final kedua di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, Sabtu ini.

UKM mencatat sejarah apabila melangkah ke perlawanan akhir buat kali kedua berturut-turut, namun tewas 4-2 di tangan Terengganu FC II dalam final edisi lalu.

Bagi pemain dari Iran itu, kekalahan 1-0 kepada Johor Darul Ta'zim II (JDT II) dalam perlawanan akhir pertama sebelum ini langsung tidak mematahkan semangatnya kerana peluang masih terbuka buat kedua-dua pasukan menggapai impian memburu gelaran pertama.

"Bercakap mengenai aksi sebelum ini, saya rasa peluang seimbang. JDT tidak mencipta banyak peluang tetapi menang. Namun, sudah pasti kami akan mengejar kemenangan dalam pertemuan selepas ini. Ini adalah bola sepak," katanya.

Sementara itu, Zanidpour yang pernah bermain untuk skuad B-17 dan B-19 Iran serta mencatat 13 penampilan bersama pasukan kebangsaan menyifatkan mutu saingan Liga Malaysia yang semakin meningkat menyumbang kepada persembahan baik skuad Harimau Malaya.

Ia terbukti apabila dia menyaksikan skuad kebangsaan kendalian Tan Cheng Hoe itu memberikan tentangan sengit sebelum tumpas 1-2 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

"Saya rasa bola sepak Malaysia sudah meningkat. Saya menyaksikan pasukan kebangsaan mereka yang memiliki teknik bagus. Ternyata sudah berada pada tahap berbeza."