Impian penyerang skuad B-19 negara, Zafuan Azeman, untuk berkelana ke luar negara tidak pernah kabur walaupun percubaannya dalam Liga Korea Selatan baru-baru ini mungkin tidak berjaya.

Zafuan menjalani ujian pemilihan bersama kelab Liga K3, Yangju Citizen FC, dari 1 hingga 14 Mei lalu.

Ia kali kedua penyerang Kedah itu mencuba nasib bersama kelab luar selepas menghadiri sesi pemilihan dengan kelab Thailand, Bangkok United dan Lampang FC, tahun lalu.

Mengkui peluangnya untuk beraksi di Korea Selatan tampak sukar, Zafuan bagaimanpun tidak akan berputus asa seandainya tidak terpilih untuk menyertai kelab berkenaan.

"Saya sejak di bangku sekolah lagi bertekad untuk meraih pengalaman di luar negara dan saya tidak akan berputus asa untuk mendapatkannya," kata Zafuan.

Sementara itu, ketiadaan beberapa tonggak utama dalam kem latihan skuad B-19 negara ketika ini tampak menjadi peluang terbaik buat penyerang kelahiran Perlis ini.

Ia bagi membuktikan kemampuannya sebagai penyerang berbisa setelah lebih kerap menjadi pemain simpanan dalam beberapa kejohanan terdahulu.

"Untuk ke kem latihan di Bangkok, kami akan cuba merakamkan kemenangan sebagai persiapan menghadapi Kejohanan AFF B-19 2018 yang akan berlangsung pada Julai nanti," katanya.