Sebaik sahaja pertahanan kiri, Azwan Aripin, dilayangkan kad kuning kedua selepas mengasari pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) II, Mohamad Hasbullah Abu Bakar, pengendali pasukan, Yusri Che Lah, menyedari tugasnya menjadi makin sukar berdepan Sarawak dalam Piala Cabaran di Kuching, Selasa ini.

Mengakui dalam sidang media, malam kelmarin, kehilangan khidmat pemilik jersi bernombor 13 itu cukup perit untuk diterima kerana Kelantan kini terpaksa bergantung kepada empat pertahanan sahaja bagi mengharungi cabaran sengit yang bakal diberikan skuad Bujang Senang.

"Kita hanya mempunyai lima permain pertahanan sepanjang saya berada di sini kerana ketidakmampuan membawa masuk pemain.

"Jadi, dengan ketiadaan Azwan, saya hanya ada empat untuk dibawa ke Sarawak dan saya mengharapkan kami dapat bawa balik mata dari sana," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Yusri yang juga bekas pengendali Kuala Lumpur mampu menarik nafas lega selepas Mohamad Fikri Che Soh terus konsisten mempamer aksi mantap menjaga gawang Kelantan.

"Walapun tidak ramai penduduk Kelantan menyukainya, hanya saya yang mengetahui suasana dan perjalanan pasukan. Dia beraksi cukup baik berbanding musim lepas.

"Buat masa ini, dia (Fikri) yang terbaik dan mengapa tidak, saya terus beri keyakinan kepadanya untuk terus menjaga gawang Kelantan sepanjang Piala Cabaran ini," katanya.

Untuk rekod, The Red Warriors (TRW) akan turun dalam aksi kedua Kumpulan A menentang Sarawak dan kedua-dua pasukan masih gagal memungut sebarang mata selepas tewas kepada pendahulu, JDT II, dalam aksi pertama masing-masing.

Kredit Foto: Kelantan FA Red Warriors