Yusri harap Farisham, L'Imam cepat bangkit

Oleh Farizal Yusoff 15 Ogos 2019 1703
Yusri harap Farisham, L'Imam cepat bangkit
Ketua jurulatih The Red Warriors (TRW), Yusri Che Lah, mahu kapten, Mohd Farisham Ismail, cepat melupakan igauan minit ke-32 yang menghadiahkan gol kemenangan kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) II dalam aksi Piala Cabaran, malam tadi.

Kegagalan Farisham mengawal bola dalam kawasan sendiri sebelum dirampas penyerang import, Nicholas Alberto Fernandez, yang membuat lambungan cantik sebelum ditanduk Mohamad Ghaddar untuk gol kemenangan Harimau Selatan meleburkan hajat tuan rumah untuk mencipta kejutan.

"Saya juga simpati dengan Farisham terhadap apa yang berlaku. Inilah bola sepak, macam mana sekalipun kebaikan kita lakukan kepada pasukan tetapi  dengan satu kesilapan mungkin akan dihukum dengan kejian dan makian.

"Saya harap dia cepat bangkit untuk terus bantu pasukan. Kita tidak boleh salahkan dia 100 peratus kerana dalam masa ketinggalan, kita masih dihidangkan dengan peluang terbuka untuk menjaringkan gol," katanya.

Sementara itu, Yusri juga agak kecewa dengan kegagalan penyerang import, Seydi L'Imam, menyudahkan peluang terbuka tuan rumah biarpun penjaga gol lawan, Muhammad Haziq Nadzli, sudah tertewas.

"Sebagai seorang jurulatih, saya perlu beri keyakinan kepadanya untuk terus bangkit dan fokus membantu pasukan. Dia perlu lupakan permasalahan peribadi bersama kelab lama," ujarnya.

Untuk rekod, dalam saingan seterusnya dalam Kumpulan A, Kelantan akan bertemu Sarawak di Stadium Sarawak, Selasa ini.

Kredit Foto: Kelantan FA Red Warriors

Tentang Penulis

Farizal Yusoff

Komen