Seperti yang dijangka, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi dilantik selaku pemangku presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam Mesyuarat Khas Pertama Exco bagi penggal 2017-2021 di Wisma FAM, sebentar tadi.

Perkara itu diputuskan selepas Ahli Exco sebulat suara menerima peletakan jawatan Tunku Ismail Sultan Ibrahim selaku presiden pada 25 Mac lalu.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Subahan Kamal, membuka laluan kepada Yusoff dengan alasan terlalu banyak tanggungjawab di mana beliau juga memegang tugas sebagai Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) dan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS).

Yusoff, yang juga timbalan presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA), bakal memikul tugas selaku pemangku sehingga pemilihan baru pada Kongres FAM Kke-54 pada 14 Julai depan.

Dalam perkembangan sama, Ahli Exco turut menerima saranan Tunku Ismail dengan menamakan Setiausaha Agung, Datuk Hamidin Mohd Amin, sebagai presiden baru dalam Kongres FAM nanti.

Tunku Ismail mengumumkan peletakan jawatan genap setahun selepas beliau dipilih tanpa bertanding sebagai presiden badan induk itu pada 25 Mac tahun lalu.