Pemangku Presiden, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi, mengesahkan bahawa tiada calon menarik diri daripada bertanding jawatan presiden FAM, sekali gus sah menyaksikan pertembungan satu lawan satu di antara Datuk Hamidin Mohd Amin dan Tan Sri Annuar Musa.

Pencalonan bagi merebut kerusi panas badan induk bola sepak negara itu berakhir hari ini, jam 5 petang.

Menurut Yusoff, Hamidin atau Annuar kekal untuk bertanding merebut jawatan tertinggi FAM itu bagi penggal 2018-2021.

Sebelum ini, hanya seorang calon yang membuat keputusan untuk menarik diri, iaitu Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi.

"Setakat ini nampaknya memang akan berlaku pertandingan walaupun kita berharap tidak ada pertembungan untuk jawatan presiden.

"Ini kerana ia tidak berapa sesuai untuk mengadakan pertandingan di peringkat FAM ketika ini. Kita tengok jurang pencalonan sudah terlalu jauh bezanya," kata Mohd Yusoff.

Hamidin pada 1 Jun lalu membalas surat pencalonan untuk bertanding, disusuli Annuar yang membalas surat pencalonannya Selasa lalu.

Begitupun, salah seorang calon boleh membuat keputusan untuk menarik diri daripada bertanding pada bila-bila masa sebelum hari berlangsungnya Kongres FAM Ke-54 itu.

Sementara itu, Annuar diminta mengulas mengenai keputusannya untuk kekal bertanding, bagaimanapun, enggan memberi komen lanjut berhubung perkara tersebut.