Ejen Lautaro Martinez, Alberto Yaque, berkata pasti sesuatu yang indah sekiranya dapat melihat penggempur Inter Milan itu beraksi bersama Lionel Messi di Barcelona.

Martinez mencuri tumpuan selepas mencatat hatrik dalam babak pertama sewaktu Argentina menewaskan Mexico 4-0, semalam dalam perlawanan yang menyaksikan Messi tidak beraksi akibat penggantungan.

Yaque mengesahkan juara LaLiga, Barca, berminat untuk membawa masuk Martinez, Julai lalu dan kini dia sekali lagi bercakap mengenai potensi perpindahan ke Camp Nou.

"Pasti hebat melihatnya beraksi bersama Messi di Barca," katanya kepada TyC.

"Gembira untuk melihat dia beraksi sebegitu. Tenang dan gembira.

"Dia memiliki kawalan hebat pada sentuhan pertama dan itu menyukarkan pertahanan untuk mengekangnya."

Martinez -- dikaitkan dengan perpindahan EUR112 juta (RM514 juta) ke Barca selepas semusim tiba di Inter daripada Racing Club -- menjaringkan gol ketika kemenangan 2-1 ke atas Cagliari dalam saingan Serie A sebelum tempoh rehat antarabangsa.

Pemain berusia 22 tahun itu menjaringkan enam gol liga pada musim lalu serta sembilan jaringan dalam semua kejohanan.

"Martinez sangat rendah diri. Apabila saya menemuinya di Bahia Blanca, sukar untuk mendapatkannya. Dia sangat rapat dengan keluarga dan sentiasa rindukan kampung halaman. Namun, ibu bapanya mempercayai saya," tambah Yaque.

"Sebelum ke Inter, saya memberitahunya bahawa dia tidak akan bergelut untuk menyesuaikan diri kerana saya tahu, ke mana sahaja dia pergi, dia akan berjaya. Tidak kira sama ada di San Siro atau di laman rumah anda."

Skuad kendalian Antonio Conte itu akan melayan kunjungan Udinese di San Siro, Sabtu ini dalam usaha untuk mengekalkan permulaan cemerlang musim ini.