Pengeluar minuman probiotik, Yakult Malaysia Sdn Bhd, sudah merancang untuk membawa skuad B-19 negara sekali lagi ke Jepun sebagai persiapan terakhir sebelum berlangsungnya Kejohanan AFF, Ogos depan.

Yakult merupakan penaja yang bertanggungjawab membawa skuad B-19 negara menyertai dua edisi Piala Sanix di Jepun bermula tahun lalu.

Ia memberikan pendedahan yang sangat berguna buat skuad remaja kebangsaan sehingga tercetusnya pasukan mantap yang muncul juara Kejohanan AFF tahun lalu.

Menerusi kerjasama dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), penyertaan skuad remaja negara dalam Piala Sanix mendedahkan pemain dengan corak permainan pantas kelab-kelab Jepun.

"Mengenai tajaan kepada FAM, syarikat kami memberikan sokongan penuh kepada pemain muda termasuk B-17 dan B-23. Setakat ini, salah satu kejohanan terbesar adalah Piala Sanix," kata Pengarah Urusan Yakult Malaysia Sdn Bhd, Hiroshi Hamada.

Dalam memastikan Malaysia terus mengekalkan trofi Kejohanan AFF B-19, Yakult bercadang untuk membawa skuad negara sekali lagi ke Jepun sebagai persiapan terakhir sebelum kejohanan.

"Kami juga sedang mengusahakan beberapa perlawanan di Jepun sebelum Kejohanan AFF di Vietnam sebagai sokongan kepada pengendali negara, Bojan Hodak," katanya.