Granit Xhaka meluahkan kelegaan selepas imbasan menunjukkan kecederaan lutut tidak akan menghalangnya daripada menyertai skuad Piala Dunia Switzerland.

Xhaka mengalami kecederaan lutut kiri dalam latihan awal hari ini, dengan Switzerland menafikan laporan media yang mendakwa pemain itu dimasukkan ke hospital.

Pemain tengah Arsenal itu menjalani proses imbasan, bagaimanapun tiada kecederaan serius ketika tirai Piala Dunia di Russia akan dibuka hanya dua minggu lagi.

"Saya sangat lega," kata Xhaka dalam satu kenyataan yang dikeluarkan melalui laman web Persatuan Bolasepak Switzerland (SFV).

Doktor pasukan, Pierre-Etienne Fournier, yang merawat Xhaka di hotel penginapan skuad Switzerland menyediakan laporan terpecinci mengenai keadaan pemain berusia 25 tahun itu.

"Kami sudah dapat lihat bahawa ligamen baik, juga dengan meniskus, tetapi kami tidak mahu mengambil risiko," kata Fournier.

"Kami sangat lega kerana ia hanya satu lebam yang menyakitkan -- dan mujur kami dapat melakukan imbasan MRI pada lewat petang."

Walaupun pemain tengah itu dijangka bersedia untuk aksi pembukaan Piala Dunia Switzerland menentang Brazil pada 17 Jun, SVF mengesahkan Xhaka tidak akan bermain untuk aksi persahabatan menentang Sepanyol, Isnin ini.