Bekas bintang Barcelona, ​​Xavi, melabel kekalahan 3-1 Paris Saint-Germain (PSG) di Santiago Bernabeu sebagai tidak adil.

Tuan rumah kepada aksi Liga Juara-Juara (UCL) itu merangkap juara bertahan, Madrid, menyumbat dua kali dalam tempoh tujuh minit terakhir untuk menguasai pertemuan pertama pusingan 16 itu.

PSG memecah kebuntuan hasil rembatan Adrien Rabiot pada minit ke-33 sebelum Cristiano Ronaldo meledak gol menerusi penalti sebelum separuh masa pertama berakhir.

Pelawat dari Perancis itu kemudian menguasai permainan pada babak seterusnya, namun dikecewakan oleh jaringan minit akhir Ronaldo dan Marcelo untuk Madrid membawa bekalan dua gol ke Paris.

Menggambarkan hasilnya, Xavi -- kini bermain untuk Al Sadd di Qatar -- kurang tertarik dengan prestasi Madrid terhadap pemimpin Ligue 1 berkenaan.

"Madrid mempunyai sesuatu," kata Xavi kepada So Foot. "Menentang mereka, anda tidak boleh terlepas peluang yang ada, jika tidak, mereka akan menghukum anda tetapi perkara yang paling buruk ialah mereka mampu menyakiti lawan tanpa usaha keras.

"Serangan balas cukup untuk meraih kemenangan ...

"Adalah tidak adil PSG tewas dengan jurang besar. Perlawanan itu sepatutnya memihak PSG, 1-1, 2-2 atau 2-1.

"Ia tidak dapat dijelaskan, Real Madrid tidak bermain baik, namun masih menang," ujar Xavi lagi.

"Saya menonton menerusi saluran televisyen Sepanyol ditemani Valdano dan dia mengatakan sesuatu yang sangat benar.

"Dalam perlawanan ini, terdapat beberapa fasa, sangat berbeza di antara satu sama lain dan ada saatnya PSG jelas menguasai permainan.

"Di kawasan kubu Madrid, PSG sepatutnya menjaringkan gol kedua."

Xavi menambah: "Adakah Madrid lebih unggul daripada PSG? Bagi saya, tidak tetapi mereka tidak peduli asalkan mereka lebih berjaya tanpa mengira sama ada mereka mendominasi permainan atau tidak.

"Falsafah mereka adalah semata-mata untuk menang, itulah yang membuat mereka sukar bermain di Estadio Santiago Bernabeu. PSG bermain seperti Barca," katanya lagi.