RB LEIPZIG 0 BORUSSIA DORTMUND 1

Jaringan Axel Witsel dalam separuh masa pertama kembali meletakkan Borussia Dortmund berkelebihan enam mata di puncak Bundesliga selepas menewaskan RB Leipzig 1-0, awal pagi tadi.


Selepas waktu rehat pertengahan musim, pendahulu liga, Dortmund, memberikan reaksi balas terhadap kemenangan 3-0 seteru utama mereka, Bayern Munich, ke atas Hoffenheim dengan menewaskan pasukan di tangga keempat, Leipzig.

Pemain kebangsaan Belgium itu merembat kencang ke bahagian bawah palang gol pada minit ke-19 dan jaringan itu sudah cukup untuk memastikan kemenangan skuad kendalian Lucien Favre itu yang turun tanpa bintang utama, Marco Reus.

Timo Werner dan Marcel Sabitzer tidak mampu menghasilkan jaringan penyamaan buat tuan rumah dan Dortmund -- yang menurunkan pemain milik Chelsea musim depan, Christian Pulisic, pada minit ke-76 -- berpeluang melebarkan jurang itu kepada sembilan mata dalam perlawanan menentang Hannover yang berlangsung 24 jam sebelum Bayern menentang Stuttgart.

Dayot Upamecano dan Ibrahima Konate memaparkan aksi kental bagi menyekat usaha Mario Gotze dan Maximilian Philipp pada 15 minit pertama perlawanan.

Namun, pertahanan Leipzig tewas juga tidak lama selepas itu.

Sepakan penjuru daripada Raphael Guerreiro disungkit Lukasz Piszczek yang kemudian dirembat kencang Witsel untuk menghasilkan jaringan yang turut dibantu palang gol lawan.

Tandukan Abdou Diallo pada penghujung babak pertama tersasar manakala percubaan Phillipp diselamatkan Peter Gulacsi selepas lapan minit perlawanan bersambung.

Werner kemudian terlepas peluang terhidang di depan gawang dan percubaan Sabitzer pula dinafikan penjaga gol Dortmund, Roman Burki.

Matheus Cunha hampir menanduk masuk jaringan penyamaan pada lewat aksi, namun percubaannya yang tersasar itu menyaksikan rekod 10 perlawanan tanpa kalah Leipzig musnah serta-merta.