Pemain yang baru ditandatangani Borussia Dortmund, Axel Witsel, mendakwa Carlo Ancelotti pernah cuba membawanya ke Bayern Munich.

Witsel menyertai Dortmund dari Tianjin Quanjian selepas kempen Piala Dunia yang mengagumkan bersama Belgium setelah berpindah ke skuad Liga Super China itu dari Zenit pada Januari 2017.

Ancelotti dipecat daripada peranannya sebagai bos Bayern pada September 2017 tetapi Witsel mendedahkan bahawa jurulatih Itali itu berminat untuk menandatanganinya sebelum tempohnya di gergasi Bundesliga itu ditamatkan walaupun Tianjin Quanjian tidak berminat untuk menjual pemain berusia 29 tahun berkenaan pada masa itu.

"Mereka tidak memanggil saya tetapi bekas jurulatih saya, Fabio Cannavaro, dengan baik dan sopan memberitahu Ancelotti bahawa ia tidak mungkin berlaku," Witsel memberitahu Bild.

Witsel membuat enam penampilan untuk Belgium ketika skuad The Red Devils itu memperoleh tempat ketiga di Russia 2018.

Walaupun bekas pemain tengah Benfica itu mengakui dia mungkin berkarat selepas rehat panjang berikutan kejohanan itu, dia begitu bersemangat untuk kelab barunya.

"Saya rasa baik, saya telah berlatih secara intensif semasa cuti saya dan saya telah berehat selama tiga minggu tetapi itu bukan untuk saya," katanya.

"Sudah tentu saya perlukan satu atau dua perlawanan sebelum berharap tahap prestasi saya menjadi 100 peratus."