Ahmed Musa akan gembira membuat kemunculan semula secara tetap dengan CSKA Moscow tetapi akan menangguhkan keputusan mengenai masa depannya untuk bersama Leicester City sehingga Piala Dunia tamat.

Musa mencuri tumpuan di Volgograd, awal pagi tadi, dengan menjaringkan dua gol menakjubkan ketika Nigeria mengalahkan Iceland 2-0 dalam Kumpulan D untuk membuat perhitungan 'hidup mati' dengan Argentina.

Pemain berusia 25 tahun itu menyertai Leicester dari CSKA pada 2016 tetapi gagal menyesuaikan diri dalam Liga Perdana Inggeris dan kembali ke kelab Moscow itu secara pinjaman Januari lalu, dengan menjaringkan tujuh gol dalam semua pertandingan.

Walaupun dia mendedahkan kepulangan ke CSKA akan menjadi keputusan tepat, Musa tidak menolak akan kekal di Leicester untuk musim 2018-19.

"Saya telah kembali ke Leicester tetapi keputusan untuk kekal, saya tidak boleh buat keputusan sekarang," kata Musa dalam sidang media selepas menjaringkan gol keempatnya dalam Piala Dunia.

"Dalam dua minggu akan datang, saya boleh tentukan sama ada saya akan kekal atau keluar.

"Kembali ke CSKA, ya, jika berlaku saya gembira, ia kelab yang benar-benar saya minati.

"Saya tidak boleh balas jasa mereka untuk musim-musim yang lalu selain daripada berterima kasih.

"Mereka membantu saya kembali ke gaya permainan yang saya ada hari ini. Jika tidak kerana CSKA, saya tidak akan berada dalam Piala Dunia," katanya lagi