Semua pihak dan pemegang taruh dalam industri bola sepak tempatan perlu memanfaatkan penganjuran Sidang Kemuncak Bolasepak Dunia (WFS) yang buat julung kali diperluaskan ke rantau Asia tahun depan.

Sebelum ini, WFS hanya dianjurkan di Madrid, Sepanyol sejak tiga tahun lalu dengan penyertaan hampir 2,000 delegasi dari seluruh dunia.

Bagaimanapun, ia diperluaskan ke Asia dan Kuala Lumpur menjadi destinasi utama pada April tahun depan.

Pengarah Urusan La Liga Asia Tenggara yang merupakan antara rakan utama WSF, Ivan Codina, percaya persidangan itu dapat memberi pelbagai peluang dalam usaha memajukan bola sepak rantau Asia, khususnya di Malaysia.

"Mana-mana bahagian bola sepak yang perlu diperkembangkan dalam negara, ia dialu-alukan. Ia memang harus dipertingkatkan dan ketika ini, MFL bekerja keras untuk menjadikannya realiti," kata Codina selepas majlis pelancaran WSF 2019 di Subang, hari ini.

Hadir sama adalah Pengarah WFS, Marion Otamendi, di samping Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Kevin Ramalingam.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam, percaya penganjuran WFS itu dapat membantu kepada pelaksanaan pelan jangka panjang F:30 yang dilancarkan badan induk itu, baru-baru ini.

"Memang pihak Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) memberi pandangan untuk menitikberatkan faktor teknikal. Jadi, AFC dalam sebulan ini akan memberikan pendapat dan kami daripada FAM akan memantau dan berbincang lebih mendalam," ujar Stuart.