Bintang RB Leipzig, Timo Werner, berkata dia sangat berbangga dikaitkan dengan perpindahan ke Liverpool sambil melabelkan kelab Liga Perdana Inggeris itu sebagai pasukan terbaik dunia.

Werner, 23 dikaitkan dengan juara Eropah itu selepas meledakkan 26 gol dalam 32 perlawanan buat Leipzig, musim ini.

Sepakan penalti pemain Jerman itu dalam babak kedua membolehkan Leipzig menewaskan Tottenham Hotspur 1-0 dalam pertemuan aksi pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah, awal pagi tadi.

Selepas perlawanan, Werner bercakap mengenai laporan mengaitkannya dengan perpindahan ke Liverpool dan penggempur itu cuba untuk menolak dakwaan itu.

"Liverpool merupakan pasukan terbaik di dunia ketika ini dan apabila anda dikaitkan dengan mereka, ia membuatkan saya bangga," katanya.

"Namun, saya tahu Liverpool memiliki ramai pemain hebat dan saya perlu tingkatkan permainan untuk belajar lebih banyak perkara bagi sampai ke tahap itu."

Sepakan penalti Werner pada minit ke-58 ketika berdepan Spurs di London menyaksikan Leipzig kini selangkah untuk ke suku akhir Liga Juara-Juara.

Namun, pemain yang tampil 29 kali bersama skuad kebangsaan Jerman itu memberi amaran buat rakan sepasukannya agar terus berusaha untuk berdepan lawan yang mencipta kebangkitan hebat sewaktu menundukkan Ajax, musim lalu.

"Spurs adalah pasukan yang bagus. Mereka membuktikannya tahun lalu. Mereka telah buktikan bahawa mereka mampu bangkit dalam aksi sebegini.

"Kami perlu lakukan perkara sama seperti hari ini dan kami meraih permulaan yang baik dalam babak pertama."