Pengurus legenda, Arsene Wenger, memuji persiapan tuan rumah Piala Dunia Qatar 2022 yang ditunjangi komitmen negara itu terhadap pembangunan bola sepak ketika dalam kunjungan ke Jawatankuasa Tertinggi Penyampaian dan Legasinya.

Bekas pengurus Arsenal itu, yang memenangi 10 gelaran utama sepanjang 22 tahun mengemudi The Gunners, positif mengenai perancangan Piala Dunia Qatar dengan mengatakan bahawa kejohanan pada 2022 itu akan menawarkan pengalaman baru kepada pemain, pegawai dan peminat.

Pengurus berbangsa Perancis itu, yang memenangi tujuh kejuaraan Piala FA bersama Arsenal, turut memuji kejayaan penganjuran Piala Asia 2019, Januari lalu, kerana tuan rumah telah membuktikan pendidikan, perancangan dan bimbingan yang berkualiti.

Wenger, 69, yang sempat menghabiskan tempoh selama tujuh tahun membimbing kelab Perancis, Monaco, kagum dengan komitmen Qatar untuk membina kemudahan yang boleh memberi manfaat kepada komuniti di seluruh negara itu, termasuk perancangan untuk mengubah beberapa stadium sebagai pusat kemudahan sukan.

"Saya kagum dengan kualiti perancangan terhadap Piala Dunia 2022, termasuk pihak-pihak di belakang tadbir," kata Wenger dalam satu temu bual yang dikeluarkan oleh jawatankuasa itu.

"Piala Dunia ini diserapkan ke dalam komuniti dan terdapat banyak program yang dirancang untuk memastikan ia tidak bertukar menjadi sia-sia selepas temasya ini.

"Projek untuk temasya ini adalah sesuatu yang hebat. Namun, masyarakat boleh memanfaatkannya selepas Piala Dunia, ia satu idea yang hebat."

Jarak paling jauh di antara stadium bagi temasya Qatar 2022 itu hanya 55km -- ini bermakna peminat dapat menghadiri lebih daripada satu perlawanan sehari untuk aksi di peringkat awal kumpulan.

Ia juga bermakna peminat tidak perlu mengembara jauh, termasuk pemain dan pegawai pasukan -- dan bagi Wenger, ia akan menawarkan pengalaman baru.

"Apabila saya menyorot kembali edisi Piala Dunia yang pernah saya terbabit, saya sentiasa perlu merancang penerbangan.

"Ini akan menjadi pengalaman baru buat penyokong di sini -- sebaik sahaja anda berada di Qatar, anda hanya perlu bergerak dari satu stadium ke stadium yang lain tanpa mengambil satu penerbangan pun.

"Begitu juga dengan pemain dan pasukan -- pasukan kebangsaan boleh kekal di satu tempat sepanjang Piala Dunia berlangsung dan ia akan menjadi pengalaman yang lebih selesa daripada sebelumnya."



Wenger, yang pernah membimbing kelab Jepun, Nagoya Grampus, pada pertengahan 1990-an, turut bercakap mengenai kemenangan hebat Qatar dalam Piala Asia 2019.

Skuad yang diberi jolokan Al Annabi itu mengetengahkan tujuh graduan Akademi Aspire dalam aksi final dengan Jepun.

Akademi Aspire ditubuhkan pada 2004 dengan matlamat untuk mencari dan menggilap atlet Qatar terbaik sambil menyediakan mereka dengan pendidikan sekolah menengah yang berkualiti tinggi.

Dalam tahun-tahun kebelakangan ini, bola sepak remaja semakin berkembang di Qatar yang menyaksikan mereka menjuarai Kejohanan AFC B-19 2014 sebelum melakar kejayaan dalam kempen di Emiriah Arab Bersatu (UAE) itu.

Matlamat utamanya adalah membangunkan pemain yang akan mewakili Qatar dalam Piala Dunia.

"Ini satu pengajaran yang baik buat setiap negara. Jika anda bermula dengan pendidikan, perancangan berkualiti dan pembinaan berkualiti, anda akan menuai hasilnya," kata Wenger.

"Perkara yang paling penting adalah Qatar telah memenangi Piala Asia. Malah, di Qatar sendiri pun, tiada siapa yang sanggup merancangnya ketika Akademi Aspire dibuka.

"Ia aspek terpenting. Selain menjadi kebanggaan semua pihak di negara ini selepas memenangi kejohanan yang begitu besar, hakikatnya mereka telah menerapkan aspek pendidikan dan pembangunan pemain muda.

"Ia adalah satu pengajaran yang luar biasa buat semua negara yang menggemari bola sepak," katanya lagi.