Arsene Wenger tidak akan dilantik sebagai pengarah sukan Paris Saint-Germain (PSG), kata presiden kelab, Nasser Al-Khelaifi.

Wenger tidak menyandang sebarang jawatan sejak meninggalkan Arsenal pada akhir musim lalu selepas 22 tahun mengendalikan pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.

Timbul cadangan bahawa dia akan menggantikan Antero Henrique sebagai pengarah sukan baru untuk skuad Ligue 1 itu tetapi ia segera dinafikan Al-Khelaifi.

"Saya mempunyai hubungan yang sangat baik dengan Arsene," katanya kepada Le Parisien.

"Saya rapat dengannya dan saya mengenalinya sejak sekian lama. Dia seorang pengurus dan jurulatih yang hebat. Dia mempunyai pengetahuan yang tajam dan lengkap tentang bola sepak.

"Begitupun, kami sudah mempunyai Pengarah Sukan, Antero Henrique, dan saya mempunyai keyakinan yang tinggi terhadapnya.

"Media sering mengatakan bahawa Arsene akan tiba untuk mengambil alih tugas ini. Ia melampau. Berilah kami ruang untuk melaksanakan kerja.

"Antero telah melakukan tugasnya dengan sangat baik. Dia akan terus bersama kami, dia akan kekal menggalas tanggungjawab itu."

Wenger hadir dalam Majlis Anugerah Sukan Dunia Laureus di Monaco minggu ini untuk menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat.