Jodoh jurulatih Kuala Lumpur, Wanderley Junior, bersama pasukan itu dijangka berakhir lebih awal jika lesen kejurulatihannya gagal mendapat pengiktirafan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Menurut Setiausaha Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa, masalah itu timbul ekoran lesen kejurulatihan Wanderley yang diperoleh melalui persatuan jurulatih di negara asalnya tidak mendapat pengiktirafan Konfederasi Bola Sepak Brazil (CBF).

Perkara itu disahkan sendiri Ketua Jabatan Kejurulatihan FAM, B.Satianathan, ketika aksi pertama Liga Perdana berdepan JDT II di Stadium Selayang, 20 Januari lalu.

Justeru, buat masa ini, pihaknya terpaksa menamakan Rusdi Suparman selaku ketua jurulatih manakala Wanderley bertindak sebagai penolong pengurus.

"Kalau kira daripada sijil yang dihantar kepada kita, memang dia layak. Tetapi masalah ketika ini ada satu syarat dikeluarkan oleh AFC,iaitu jurulatih luar dari Asia perlu ada lesen yang mendapat pengiktirafan," jelas Nokman.

Buat masa ini, KLFA sedang berusaha membantu Wanderley dengan cuba menghubungi bekas pasukan yang pernah dibimbingnya di Thailand dan Indonesia.

Jika masih menemui jalan buntu dalam tempoh sebulan ini, kemungkinan Rusdi akan dinaikkan pangkat selaku ketua jurulatih sepenuh masa sebagai pilihan terakhir.

"Satianathan telah meminta kami untuk mendapatkan segala testimonial dan setiap kursus yang telah Wanderley lalui, terutama ketika dia menjadi jurulatih di Indonesia," tambahnya.