Mauro Icardi tidak akan menyertai AS Monaco, kata isteri dan ejen penyerang Inter Milan itu, Wanda Nara.

Penggempur Argentina, Icardi, dikaitkan dengan perpindahan ke kelab Ligue 1 itu selepas dimaklumkan boleh meninggalkan San Siro.

Kapten Inter itu dilucutkan jawatannya musim lalu dan dia tampak tidak memiliki masa depan di bawah kendalian pengurus ketika ini, Antonio Conte.

Bagaimanapun, Wanda menolak Monaco sebagai destinasi seterusnya buat suaminya itu sebelum jendela perpindahan Ligue 1 dan Serie A berakhir pada 2 September ini.

"Dia tidak akan pergi ke Monaco," katanya.

Kelab Ligue 1 itu dilaporkan sedang mencari pengganti Radamel Falcao yang kini dikaitkan dengan penghijrahan ke Galatasaray.

Pemain ejen bebas, Daniel Sturridge, yang meninggalkan Liverpool pada penghujung kontraknya, dikatakan menjadi buruan pasukan bimbingan Leonardo Jardim itu.