Pemain skuad kebangsaan, Wan Zack Haikal Wan Noor, memohon maaf kepada peminat bola
sepak negara atas insiden sepakan jarak jauhnya yang hampir memberikan gol sendiri ketika
pertemuan dengan Korea Utara dalam aksi kelayakan Piala Asia 2019, Jumaat lalu.


Ketika skuad negara dilihat sedang cuba mendapatkan gol penyamaan dalam babak pertama,
seluruh penonton di Stadium I-Mobile, Buriram tergamam apabila hantaran ke belakang Wan Zack dari
jarak tiga suku padang gagal disambut penjaga gol, Muhammad Hafizul Hakim.

Mujur tiang menjadi penyelamat kerana jika tidak, ia mungkin menjadi antara jaringan sendiri yang
paling diingati oleh semua peminat bola sepak negara.

"Saya minta maaf kerana hampir menjaringkan gol sendiri tetapi saya tidak sengaja kerana cuba untuk menyelamatkan bola daripada kawasan bahaya," katanya.

Dalam masa sama, Wan Zack menyifatkan skuad negara beraksi dengan baik, namun
kebijaksanaan Korea Utara menyempurnakan setiap peluang membolehkan lawan mencipta
kemenangan.

Baginya, skuad negara perlu segera melupakan kekalahan lalu dan fokus terhadap aksi kelima
Kumpulan B, esok.

"Walaupun kami kalah, saya rasa kami telah memberikan yang terbaik, cuma jaringan-jaringan yang diraih lawan terhasil daripada situasi bola mati," katanya.