Pemain sensasi bola sepak negara yang sedang meningkat naik di Amerika Syarikat (AS), Wan Kuzain Wan Kamal, sudah memberi kata putus untuk mewakili Malaysia.

Perkara itu disahkan sendiri oleh Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, hari ini yang menyatakan pemain terbabit telah pun menghubungi ketua jurulatih skuad B-22 negara, Datuk Ong Kim Swee, dengan menyatakan hasratnya untuk mewakili Malaysia, terutama dalam Sukan SEA Filipina, November depan.

Kata Hamidin lagi, Wan Kuzain berbuat demikian bulan lalu.

"Sebelum ini, dia (Wan Kuzain) tidak berminat tetapi baru-baru ini, dia telah menyatakan hasratnya kepada Kim Swee untuk bermain.

"Jadi, kita tengah membuat persiapan untuk membawanya ke Malaysia bagi bermain sama ada untuk pasukan Malaysia (Harimau Malaya) atau B-23 tahun,” katanya selepas perasmian Ibu Pejabat Johor Darul Ta'zim (JDT) di Gelang Patah, hari ini.

Ditanya sama ada persiapan itu boleh diselesaikan lebih cepat bagi membolehkan Wan Kuzain beraksi dalam perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di antara Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), Selasa depan, Hamidin berkata perkara itu tidak dapat dilaksanakan.

"Kerana proses (prosedur untuk membawa dia balik) ada. Jadi, memang tidak sempat.

"Namun, kami akan cuba untuk Sukan SEA kerana dia kini sedang bermain dalam saingan Major League Soccer (MLS) di AS," tambahnya lagi.

Hujung tahun lalu, Wan Kuzain, yang berdarah Malaysia dan bermain untuk Sporting Kansas City dalam saingan MLS, dilaporkan dalam dilema untuk memilih hala tuju masa depannya sama ada mahu terus bermain di AS atau beralih ke Malaysia.

Sementara itu, berhubung perlawanan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di antara Malaysia dan Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta esok, Hamidin berkata pihak berkuasa Indonesia memberi jaminan terhadap keselamatan pemain dan juga penyokong pasukan negara.

“Kami telah bermesyuarat dua kali mengenainya dan berharap perlawanan esok akan berjalan dengan baik sehingga tamat perlawanan. Begitu juga dengan pemain-pemain, semoga mereka dalam keadaan baik sehingga pulang ke Malaysia,” katanya lagi.

-- BERNAMA