Skuad senior negara wajib menjuarai Piala Suzuki AFF 2020, kata Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Yusoff Mahadi, sabagai perancangan khusus buat skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu selain misi melayakkan diri ke Piala Asia 2023.

Bukan untuk menambahkan tekanan skuad negara tetapi berdasarkan pelan strategik F:30 FAM, itulah yang perlu dilakukan barisan pemain skuad Harimau Malaya berkenaan.

Selain mengharapkan kutipan mata ketika menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Thailand dalam pusingan kelayakan Piala Dunia/Piala Asia, menjulang trofi Piala Suzuki AFF hujung tahun ini diletakkan sebagai misi kedua terpenting buat skuad negara.

"Dalam Piala AFF, kita mesti masuk final kerana sudah terlepas peluang (untuk menjadi juara) di Vietnam dua tahun lalu.

"Jadi tahun ini, kita mesti menakluki peringkat ASEAN," katanya.

Yusoff turut memberikan gambaran bahawa bekas jurulatih skuad B-22 negara, Datuk Ong Kim Swee, akan membantu skuad B-19 negara mengharungi Kejohanan AFC B-19 di Uzbekistan, Oktober depan.

Selaku ketua unit belia FAM, Kim Swee dilihat masih relevan untuk menjadi penasihat buat pasukan muda itu.

"Saya rasa seperti itu tetapi masih belum ada perbincangan secara rasmi di antara Ong Kim Swee dan jawatankuasa pasukan kebangsaan," tambahnya.

Sementara itu, pemerhati bola sepak negara, Asmawi Bakiri, percaya terhadap kemampuan Cheng Hoe untuk terus menyerlahkan taring sebenar Harimau Malaya sepanjang tahun ini.

Baginya, barisan pemain negara sudah menunjukkan kematangan permainan menerusi falsafah bola sepak moden yang diterapkan jurulatih itu sejak dua tahun lalu.

"Berdepan pasukan UAE amat berbeza.

"Daripada segi kehendak permainan itu, UAE memerlukan kemenangan.

"Kita juga perlu mencipta peluang untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata.

"Ia perlu dijadikan sasaran buat skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu," katanya.


Editor: Muzaffar Musa