Wagner bersara selepas gagal sertai Piala Dunia Russia 

Oleh Staff Writer 17 Mei 2018 14335
 Wagner bersara selepas gagal sertai Piala Dunia Russia 
Penyerang Jerman, Sandro Wagner, mengumumkan persaraan dari pentas antarabangsa setelah diketepikan daripada Piala Dunia Russia.

Wagner tidak tersenarai dalam senarai skuad 27 pemain yang diumumkan Joachim Low semalam untuk kejohanan di Russia pada musim panas nanti. 

Pemain berusia 30 tahun itu telah menyumbat lima gol dalam lapan aksi antarabangsa di samping meledak lapan kali dalam 14 penampilan Bundesliga bersama Bayern, musim ini.

Wagner, yang merupakan sebahagian daripada pemenang Piala Konfederasi tahun lalu, memutuskan untuk bersara dari peringkat antarabangsa.

"Dengan ini, saya meletak jawatan daripada pasukan kebangsaan dengan serta-merta," katanya kepada Bild.

"Bagi saya, jelas sekali corak permainan saya tiada dalam perancangan jurulatih. Saya sentiasa terbuka, jujur ​​dan berterus-terang untuk bercakap perkara-perkara seperti ini."

Mario Gomez, Thomas Muller, Marco Reus, Leroy Sane, Timo Werner dan pemain yang belum pernah tersenarai, Nils Petersen, mendapat kepercayaan Low untuk mengemudi barisan serangan. 

Walaupun kecewa, Wagner berharap Jerman -- yang diundi sekumpulan dengan Mexico, Sweden dan Korea Selatan dalam Kumpulan F -- mampu mempertahankan kejuaraan Piala Dunia.

"Saya mendoakan yang terbaik buat rakan-rakan di Russia nanti dan berharap mereka akan kembali sebagai juara dunia," katanya.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen