Pemain pertahanan Croatia, Sime Vrsaljko, mendakwa pemain Argentina "menangis seperti kanak-kanak perempuan" dalam kemenangan 3-0 wakil Eropah berkenaan, awal pagi tadi.

Jaringan Ante Rebic, Luka Modric dan Ivan Rakitic memastikan anak buah Zlatko Dalic mencatat kemenangan selesa dalam pertembungan Kumpulan D, Piala Dunia Russia itu.

Argentina bergelut untuk mendominasi Croatia, terutama selepas kesilapan Willy Caballero yang memberi ruang kepada jaringan pembukaan Rebic pada minit ke-53.

Bahkan, Vrsaljko menyangkal dakwaan jurulatih Argentina, Jorge Sampaoli, bahawa wakil dari Amerika Selatan itu menguasai permainan.

"Saya tidak tahu permainan apa yang ditontonnya," kata pemain pertahanan itu menerusi media Croatia.

"Saya melihat pemain Argentina bergolek di atas lantai dan menangis seperti budak perempuan.

"Kami lebih ampuh, lebih bagus, mempunyai peluang yang lebih baik. Mereka perlu mempamerkan aksi terbaik dalam perlawanan seterusnya (menentang Nigeria) untuk maju ke pusingan kedua, itupun kalau mereka boleh."

Argentina hanya memungut satu mata, sekali gus perlu bergantung harap kepada keputusan lain untuk melangkah ke pusingan 16.

Iceland juga mengumpul satu mata dan akan menghadapi Nigeria dalam pertembungan penting, malam ini.