Christian Vieri percaya semuanya sudah terhidang buat pengurus baru Juventus, Maurizio Sarri, untuk menjulang kesemua kejuaraan.

Massimiliano Allegri dilepaskan akhir musim lalu ekoran kegagalan memenangi Liga Juara-Juara (UCL).

Bekas pengurus Napoli itu kemudian tiba sebagai pengganti Allegri selain Adrien Rabiot dan Aaron Ramsey yang menyertai skuadnya dengan perpindahan percuma.

Juve turut membayar €75 juta (RM344.4j) awal untuk membeli ketua pasukan Ajax, Matthijs de Ligt, yang tiba untuk menggantikan Andrea Barzagli yang bersara.

Kancah Serie A tampak menarik pada musim depan susulan Inter melantik Antonio Conte sementara AC Milan dan Roma pula di bawah kepimpinan baru.

Begitupun, bekas penyerang Itali, Vieri, yang bermain untuk Juventus pada musim 1996-1997, mengharapkan penguasaan Bianconeri terus berlanjutan.

"Juventus sudah mantap dan telah menandatangani De Ligt, Ramsey dan Rabiot. Mereka memiliki 20 pemain terbilang yang lain," kata Vieri kepada Omnisport sempena Piala Summer Bobo tahun ini.

"Mereka mempunyai Cristiano Ronaldo, jadi apa yang kita sedang bincangkan? Mereka juga menandatangani (Gianluigi) Buffon sebagai penjaga gol simpanan dan bagi saya, dia masih yang terbaik dunia dan Juventus menandatanganinya sebagai pilihan simpanan.

"Apa pun boleh berlaku tetapi Sarri akan menguruskan sebuah skuad yang sudah lengkap untuk memenangi segala-galanya. Berapa tahun berturut-turutkah mereka menang di Itali, lapan atau tujuh?

"Mereka menandatangani pemain bertaraf dunia yang lain yang membuat kenyataan seperti ini: 'Untuk lima tahun akan datang, kami ingin memenangi segala-galanya.'"

De Ligt menjaringkan gol yang menyingkirkan Juventus dalam Liga Juara-Juara (UCL) lalu tetapi pada 2019-20, dia bakal membarisi benteng skuad bimbingan Sarri itu.

"Dia pemain hebat dan muda, dia mempunyai masa depan yang baik," tambah Vieri.

"Juventus telah mengambil langkah yang baik untuk menandatangani seorang pemain yang dilahirkan pada 1999, yang boleh menjadi bintang selama 10 hingga 15 tahun akan datang.

"Mereka mengeluarkan dana yang banyak tetapi mereka telah membuktikan mereka sentiasa di depan. Giorgio Chiellini dan Leonardo Bonucci tidak akan beraksi untuk selama-lamanya, jadi mereka sudah mempunyai pengganti yang sangat penting.

"Dia akan bergelut sedikit untuk menyesuaikan diri tetapi itu perkara biasa. Dia masih muda dan mempunyai masa, kita perlu bersabar."