Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino, menyifatkan Video Bantuan Pengadil (VAR) sebagai masa depan bola sepak moden selepas teknologi itu menerima kecaman dalam Piala Konfederasi.

Sistem rujukan video itu menerima kecaman hebat selepas terlibat dalam menentukan keputusan aksi kumpulan di Russia dalam tempoh tiga hari ini.

Portugal menyaksikan gol jaringan mereka dibatalkan ekoran ofsaid sementara gol Eduardo Vargas turut mengalami nasib sama meskipun ulang tayang menunjukkan pemain itu berada di kedudukan onsaid.

Persoalan sama turut timbul dalam aksi Australia-Jerman malam tadi apabila jaringan Tomi Juric dibenarkan pengadil meskipun berlakunya insiden bola terkena tangan.

Pengendali Portugal, Fernando Santos, mengakui rujukan video tersebut agak mengelirukan, namun Infantino berkata dia yakin sistem tersebut akan menampakkan keputusan positif menjelang Piala Dunia 2018.

"Saya amat berpuas hati dengan VAR setakat ini," katanya dalam satu kenyataan.

"Kita telah lihat bagaimana video bantuan ini membantu pengadil membuat keputusan yang tepat. Inilah yang kita harapkan daripada VAR.

"Penggunaan VAR dalam Piala Konfederasai juga membantu kami untuk memperbaiki proses dan mutu pengadilan. Penantian peminat bola sepak seluruh dunia sudah pun berakhir. Ini adalah satu langkah besar dalam bola sepak moden.

"Video Bantuan Pengadil adalah masa depan bola sepak moden."