Video Bantuan Pengadil (VAR) sekali lagi mencuri tumpuan apabila insiden kekasaran dalam aksi di antara Jerman dan Cameroon dalam saingan Piala Konfederasi membawa kepada layangan kad merah buat Ernest Mabouka.

Juara Piala Negara-Negara Afrika itu sedang ketinggalan 1-0 hasil jaringan Kerem Demirbay dalam babak kedua ketika Mabaouka didapati mengasari Emre Can.

Pengadil Colombia, Wilmas Roldan, bertindak melayangkan kad kuning sebelum VAR digunakan untuk menilai semula insiden tersebut.

Hukuman tersebut kemudian dinaik taraf kepada layangan kad merah, namun Roldan melakukan kesilapan apabila melayangkan kad tersebut kepada rakan sepasukan Mabouka, Sebastien Siani.

Pemain Cameroon itu melakukan protes terhadap Roldan, yang kemudian membetulkan keputusan tersebut.

Dua minit berselang, Timo Werner menanduk masuk gol kedua Jerman sebelum penyerang Red Bull Leipzig itu sekali lagi menerjah gawang selepas Vincent Aboubakar berjaya mencuri satu gol buat Cameroon, sekaligus mengesahkan kemenangan 3-1 di Sochi.

Insiden tersebut menambah kepada persoalan mengenai keberkesanan VAR menjelang Piala Dunia tahun depan.

Walaupun VAR membantu dalam menafikan gol yang tidak sepatutnya sebelum ini, namun kelewatan dalam menentukan keputusan mukatamad mencetuskan ketidakpuasan hati dalam kalangan pemain dan jurulatih.

Minggu lalu, Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino, mempertahankan kepentingan teknologi tersebut dan menegaskan VAR sebagai masa depan bola sepak moden.