Penyerang Belanda, Robin van Persie, menafikan kariernya di ambang kemusnahan akibat kecederaan lutut ketika mewakili pasukan kebangsaan.

Pemain yang bermain dalam Liga Super Turki bersama Fenerbahce itu dipanggil semula untuk mewakili skuad Oranje oleh pengendali, Dick Advocaat, buat pertama kali dalam masa dua tahun.

Penyerang berusia 34 tahun itu terpaksa dikeluarkan ketika tewas di tangan Perancis di Saint-Denis dan wujud laporan mengatakan Van Persie mengalami putus urat lutut, namun bingkas dinafikan melalui laman Twitter peribadinya.

“Saya mahu menjelaskan situasi sebenar yang berlaku terhadap diri saya. Amat mengecewakan apabila terdapat kenyataan tentang kecederaan yang saya alami tanpa sebarang pengesahan daripada pihak saya.

“Buat masa ini, saya mengalami kecederaan lutut yang kecil dan memerlukan tempoh pemulihan sehingga tiga minggu. Perkara ini disahkan oleh beberapa pakar lutut yang dicadangkan kepada saya,” katanya.

Van Persie kini memegang kedudukan selaku penjaring terbanyak Belanda sepanjang zaman dengan 50 gol dan kini sudah menjaringkan 25 gol hasil daripada 57 penampilan bersama Fenerbahce.