Van Dijk tolak perbandingan dengan Messi

Oleh Staff Writer 24 September 2019 811
Van Dijk tolak perbandingan dengan Messi
Bintang Liverpool, Virgil Van Dijk, menegaskan dia tidak boleh dibandingkan dengan Lionel Messi dan menolak dakwaan dia kecewa tidak memenangi anugerah Pemain Terbaik FIFA.

Van Dijk menduduki tempat kedua di belakang bintang Barcelona, Messi, ketika majlis Anugerah Best FIFA awal pagi tadi sambil penggempur Juventus dan Portugal, Cristiano Ronaldo, di tempat ketiga.

Bek tengah itu berkata dia tidak boleh dibandingkan dengan Messi yang menjaringkan 51 gol dalam semua kejohanan bagi musim 2018-19.

"Orang ramai melakukan undian dan anda perlu menerimanya," katanya.

"Dalam situasi ini, anda tidak boleh bandingkan saya dengan Messi kerana ia berbeza.

"Saya sangat bangga untuk berada di sini."

Van Dijk membantu Liverpool menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah musim lalu tatkala mereka sekadar bergelar naib juara Liga Perdana Inggeris di belakang Manchester City meskipun melalui kempen cemerlang.

Namun, pemain Belanda itu yang turut dinamakan dalam Kesebelasan Utama FIFA FIFPro menegaskan dia tidak kecewa.

"Kecewa? Anda tidak boleh berasa begitu," tambahnya.

"Saya gembira berada di sini, berada dalam pasukan terbaik tahunan selepas kerja keras dan usaha yang kami tampilkan tahun lalu.

"Hari ini, saya tidak bernasib baik untuk menang tetapi saya tidak kecewa."

Liverpool akan berdepan MK Dons dalam saingan Piala EFL esok sebelum bertandang ke Sheffield United bagi aksi Liga Perdana Inggeris, tiga hari kemudian.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen