Virgil Van Dijk berkata masih ada perkara yang perlu dirisaukan Belanda berbanding hanya memikirkan Cristiano Ronaldo menjelang final Liga Negara-Negara UEFA berdepan Portugal.

Belanda menempah tiket ke final selepas menewaskan England 3-1 dalam masa tambahan di Guimaraes, Portugal, awal pagi tadi.

Van Dijk, yang disifatkan sebagai salah seorang bek terbaik dunia, serta Ronaldo selaku antara pemain terbaik dunia, akan melakukan perhitungan dalam final Ahad ini.

Namun, bintang Liverpool itu berkata Portugal perlu dipandang lebih serius berbanding Ronaldo yang menyumbat hatrik ketika separuh akhir berdepan Switzerland.

"Lihat nanti. Ia bukan mengenai Ronaldo sahaja tetapi kami akan berdepan Portugal yang hebat. Lihat nanti apa yang akan berlaku," katanya.

"Saya tidak sabar untuk aksi final bersama pasukan ini dan kami akan memberikan segala yang termampu. Diharapkan kami dapat menjulang trofi dan membuatkan semua berbangga."

Tatkala Ronaldo menyinar ketika berdepan Switzerland, bintang muda Portugal, Joao Felix, turut mencuri tumpuan susulan aksi cemerlang ketika bersama Benfica.

Van Dijk menjangkakan Felix yang dikaitkan dengan perpindahan mega bakal melalui karier yang gemilang.

"Saya menonton bola sepak dan turut menyaksikan Liga Europa. Semua orang melihatnya. Dia adalah bakat muda yang hebat," tambahnya.

"Felix memiliki masa depan cerah jika dia kekal merendah diri serta bekerja keras. Diharapkan, kami dapat menewaskan mereka. Kami berharap dapat menang," katanya lagi.