IRELAND UTARA 0 BELANDA 0

Kapten pasukan, Virgil van Dijk, berkata Belanda boleh menikmati kejayaan melangkah ke Euro 2020.


Belanda mengakhiri kemarau tanpa kejohanan utama di peringkat antarabangsa -- selepas gagal ke Euro 2016 dan Piala Dunia 2018 -- apabila seri tanpa jaringan dengan Ireland Utara untuk memastikan mereka mengakhiri saingan satu-dua dalam Kumpulan C.

Skuad kendalian Roland Koeman itu tanpa Memphis Depay yang menyaksikan jentera serangan pasukan kelihatan kurang menyengat manakala Steven Davis melepaskan peluang menerusi sepakan penalti yang mampu menghadirkan tekanan kepada The Oranje.

Namun, pasukan pelawat berjaya mencapai objektif utama dalam perlawanan itu -- memastikan slot dalam 24 pasukan terakhir bersaing dalam Euro 2020.

Van Dijk, yang memenangi Liga Juara-Juara (UCL) bersama Liverpool musim lalu, berkata kepada NOS, "Kami kembali ke saingan Euro, itu perkara paling penting.

"Kami mahu menang hari ini dan memiliki peluang yang banyak. Kami sudah menjangkakan perlawanan yang sukar, namun akhirnya kami berjaya melayakkan diri.

"Pada 15 minit terakhir, Ireland Utara mula mempamerkan permainan yang lebih rancak, berusaha mendapatkan sepakan percuma serta sepakan sudut. Ia bergantung kepada kami untuk kekal fokus hingga wisel penamat.

"Kami akan ke Euro 2020, pasukan berhak menikmatinya sebelum kembali membuat persiapan untuk menghadapinya."

Ireland Utara masih berpeluang layak menerusi aksi playoff manakala Belanda dijangkan menamatkan saingan di tempat kedua di belakang Jerman.

Jerman bakal berdepan Ireland Utara, Selasa ini, malam yang sama Belanda akan bertemu Estonia.