Ernesto Valverde tidak akan berasa gusar dengan persaraan Lionel Messi dalam masa terdekat selepas bintang Barcelona berkenaan mencadangkan dia mula mempertimbangkan kariernya setelah meraih gelaran Ballon d'Or yang keenam awal minggu ini.

Pemain berusia 32 tahun itu mengatasi seteru lamanya, Cristiano Ronaldo, dalam perebutan Ballon d'Or dengan mengetepikan penggempur Portugal berkenaan serta pertahanan Liverpool, Virgil van Dijk -- yang disebut-sebut sebagai pilihan.

Dalam ucapannya ketika menerima anugerah individu tersebut, Messi berkata bahawa dia "sedar mengenai umurnya dan segala-galanya boleh bertukar dengan sangat pantas. Saya tahu bahawa masa untuk saya mengundurkan diri semakin hampir".

Rakan sepasukannya di Barca, Luis Suarez, menegaskan komen Messi itu telah disalah tafsir oleh ramai orang sambil mengatakan pemain tersohor Argentina tersebut akan "terus melanjutkan kariernya dalam tempoh yang lama lagi".

Valverde pula melihat keadaan fikiran pemain itu di tahap yang normal sepenuhnya serta yakin ucapannya pemain berkenaan telah disalah anggap.

Bercakap sebelum melakukan kunjungan ke Real Mallorca awal pagi esok, Valverde berkata: "Adalah menjadi perkara biasa memikirkan tentang persaraan.

"Leo sudah mencecah usia 32 tahun. Walaupun saya tidak fikir dia sedang memikirkan tentang persaraan, ia adalah sesuatu yang akan berlaku pada masa depan.

"Apabila seseorang pemain melebihi usia 30 tahun, dia akan selalu melihatnya dengan lebih dekat berbanding ketika memulakan kerjaya. Tetapi saya fikir perkara ini diperbesar-besarkan.

"Anda perlu melihatnya secara semula jadi. Ia akan berlaku kepada semua pemain seperti masa-masa lalu. Bukanlah ia akan berlangsung dalam masa tiga hari."

Peluang menguruskan Messi, bagaimanapun, tidak akan pudar di hati Valverde, bahkan dia menganggap anugerah itu akan menjadi lebih bermakna pada masa depan.

"Walaupun menyedari hal itu, kadangkala kehidupan harian tidak membenarkan anda untuk menikmatinya," tambahnya.

"Saya fikir ia akan menjadi perkara yang lebih bernilai dari semasa ke masa. Saya sedar bahawa saya mempunyai keistimewaan yang hebat untuk dapat mengatakan bahawa saya pernah mengendalikan Leo.

"Sama seperti orang lebih tua daripada saya yang memperkatakan tentang pemain legenda Real Madrid, Alfredo Di Stefano. Kami boleh memberitahu generasi akan datang mengenai Messi dan kami menikmatinya. Saya pula menikmatinya dengan begitu dekat."