Kekalahan Barcelona di tangan Valencia dalam final Piala Raja Sepanyol bukan merupakan salah daripada jurulatih yang sedang dilanda tekanan, Ernesto Valverde, kata presiden kelab, Josep Maria Bartomeu.

Barca tewas 2-1 di Benito Villamarin awal pagi tadi tatkala skuad kendalian Valverde itu melalui musim yang mengecewakan walaupun menjuarai LaLiga.

Beberapa minggu lalu, setelah menewaskan Liverpool 3-0 dalam separuh akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah, Barca tampak mampu menjulang tiga kejuaraan musim ini.

Namun, mereka dikejutkan dengan kekalahan 4-0 di Anfield ketika aksi timbal balik, sebelum jaringan daripada Kevin Gameiro dan Rodrigo Moreno meragut hasrat Barca untuk sekurang-kurangnya meraih kejuaraan berganda musim ini.

Masa depan Valverde menjadi persoalan oleh kebanyakan peminat sejak kekalahan di tangan Liverpool tetapi Bartomeu mempertahankan pengurus itu.

Bercakap selepas perlawanan, Bartomeu berkata: "Kami sentiasa memberitahu bahawa Valverde masih memiliki kontrak musim depan.

"Saya tidak rasa dia harus dipersalahkan. Kami mempunyai banyak peluang tetapi tidak menyempurnakannya. Namun, Valencia menjaringkan lebih satu gol berbanding kami.

"Ia bukan musim yang cemerlang tetapi bukan juga satu kegagalan. Kami melangkah ke final Piala Raja Sepanyol dan separuh akhir Liga Juara-Juara.

"Akhirnya, kami tewas dua perlawanan, tersingkir daripada Liga Juara-Juara dan bergelar naib juara Piala Raja Sepanyol," ujarnya lagi.