Ketua jurulatih Barcelona, Ernesto Valverde, tidak bimbang mengenai Lionel Messi mengambil sepakan penalti selepas bintang itu menjaringkan satu gol sementara gagal menyempurnakan sepakan penalti kedua ketika mengatasi Real Valladolid.

Messi meletakkan Barca mendahului perlawanan di Camp Nou pada minit ke-43 ketika meraih kemenangan 1-0 semalam.

Messi –- yang menjaringkan lebih daripada 30 gol semusim dalam 11 musim buat Barca -- berpeluang untuk menggandakan jaringan tetapi sepakan penaltinya pada minit ke-85 berjaya ditepis keluar oleh Jordi Masip.

"Tidak, saya tidak gementar. Saya yakin dia mampu menjaringkan kedua-duanya," kata Valverde.

"Messi adalah pilihan yang selamat. Dia mampu menjaringkan lebih banyak gol."

Barcelona mendominasi permainan dan keputusan yang dilakar ketika berdepan Valladolid menyaksikan mereka kembali ke landasan kemenangan.

Selepas meraih tiga keputusan seri berturut-turut berdepan Valencia dan Athletic Bilbao dalam LaLiga di samping Real Madrid untuk aksi pertama separuh akhir Copa del Rey, Valverde yakin pasukannya akan menemui sentuhan terbaik.

Barca akan berkunjung ke Lyon untuk aksi pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara, Selasa ini.

"Kami telah menghasilkan permainan yang lancar dalam separuh masa pertama, namun tidak menggerakkan bola dengan lebih pantas.

"Mereka mengubah sistem permainan dan kami bergelut mencari jalan untuk menembusi benteng pertahanan sementara penjaga gol lawan turut beraksi cemerlang. Kami menjangkakan cabaran yang lebih sukar berdepan Lyon, Selasa ini."