Ernesto Valverde akan kekal sebagai pengurus Barcelona bagi musim 2019-20, demikian disahkan presiden kelab, Josep Maria Bartomeu,.

Valverde kini di ambang memimpin Barca meraih dua kejuaraan berturut-turut sekiranya pasukannya menewaskan Valencia dalam penentuan kejuaraan Copa del Rey minggu depan setelah meraih gelaran LaLiga.

Sungguhpun kontraknya akan berakhir Februari tahun depan, masa depan Valverde telah dipersoalkan selepas mereka tersingkir daripada Liga Juara-Juara (UCL).

Mereka menang 3-0 di tempat sendiri dalam pertemuan pertama sebelum tumbang 0-4 dalam aksi separuh akhir kedua kepada Liverpool di Anfield.

Ia mengulangi episod buruk tahun lalu apabila tewas 0-3 kepada Roma di peringkat yang sama.

Walaupun bekas pemain, Ronald Koeman, dan jurulatih Ajax, Erik ten Hag, dikaitkan dengan kelab itu, Bartomeu berhasrat untuk mengekalkan Valverde.

"Perancangan untuk musim depan sudah berlangsung dan sudah lama dirancangkan," katanya kepada pemberita, semalam.

"Beberapa pemain sudah ditandatangani dan kami akan terus mengadakan perbincangan selepas final (Copa), dia adalah pengurus yang kami mahukan.

"Dia masih mempunyai kontrak dengan kami dan kami sangat gembira dengannya. Ketika ini adalah soal bagaimana untuk memulihkan semangat pemain selepas mereka dilanda kekecewaan besar."

Bartomeu menegaskan kedudukan Valverde tidak terancam jika Barca kalah kepada Valencia di Seville, 26 Mei ini.

"Perlawanan akhir bukanlah faktor penentu," kata Bartomeu. "Objektif utama kami ialah liga dan kami juga mahukan Copa atau UCL.

"Musim ini adalah musim yang hebat, kami telah memenangi LaLiga dengan baki banyak perlawanan lagi. Inilah yang kami mahukan.

"Kami berjaya mara ke final Copa apabila kami didorong untuk bangkit daripada kekalahan. Ketika ini, kami perlu menumpukan kepada aspek pemulihan, keseronokan, keinginan untuk bersaing dan kami masih mempunyai seminggu untuk mengadakan persiapan," ujarnya lagi.