Lionel Messi akan mempunyai banyak tenaga untuk Piala Dunia dan Argentina tidak perlu bimbang tentang bintang mereka, demikian kata jurulatih Barcelona, ​​Ernesto Valverde.

Kecederaan hamstring menyaksikan Messi direhatkan dalam dua aksi persahabatan Argentina ketika menewaskan Itali 2-0 dan kalah 6-1 di tangan Sepanyol, bulan lalu.

Spekulasi mengenai kecergasan Messi terus berlanjutan walaupun memberikan prestasi yang baik untuk Barcelona, termasuk hatrik menakjubkan dalam kemenangan 3-1 ke atas Leganes dalam LaLiga di laman sendiri.

Valverde berkata Messi mungkin berehat dalam kunjungan ke Celta Vigo, awal pagi esok, apabila Barcelona menghadapi Sevilla dalam final Copa del Rey pada hujung minggu ini tetapi jurulatih itu tidak mempunyai kebimbangan terhadap penyerang itu.

"Ia adalah kemungkinan Messi berehat seperti yang lain," kata Valverde kepada pemberita.

"Tidak perlu bimbang, hari lain (kemenangan 2-1 menentang Valencia) dia bermain dengan baik.

"Mereka harus tenang di Argentina kerana Messi masih mempunyai banyak tenaga untuk Piala Dunia," tambahnya.