Ernesto Valverde menegaskan terlalu banyak perbincangan mengenai masa depannya menjelang aksi final Piala Raja Sepanyol berdepan Valencia.

Barca berpeluang untuk menamatkan musim kedua di bawah bimbingan Valverde dengan kejuaraan berganda sekiranya menundukkan Valencia di Seville awal pagi esok tetapi wujud tekanan terhadap pengurus itu seteah disingkirkan Liverpool dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah.

Selepas kemenangan 4-1 ke atas Roma dalam aksi suku akhir pertama musim lalu menyaksikan Barca tetap gagal meneruskan kemaraan, The Blaugrana melepaskan kelebihan 3-0 sebelum tewas di tangan The Reds kendalian Jurgen Klopp bagi saingan musim ini.

Presiden Barcelona, Josep Maria Bartomeu, telah menawarkan sokongan buat Valverde dan kapten, Lionel Messi, turut bercakap mengenai pengendali itu semalam.

Valverde mengakui pasukannya menanggung tanggungjawab setelah tewas di tangan Liverpool dan ia menenggelamkan kejayaannya musim ini tetapi Valverde mahu mengetepikan perkara itu sehingga selepas final.

"Saya tidak terlalu memikirkan tentang masa depan," katanya.

"Apa yang merisaukan saya adalah kemenangan ke atas Valencia. Setiap hari adalah satu pertarungan.

"Jika anda melihat pengurus lain dalam LaLiga, kami sebahagian daaripada situasi ini. Kami melalui kebangkitan dan kemunduran. Anda hanya perlu lihat kepada apa yang berlaku terhadap pengurus Valencia, Marcelino, atau Real Madrid yang bertukar jurulatih.

"Saya tidak tahu Messi mempertahankan saya. Kami sedar tentangnya bahawa apabila wujud penyingkiran, kami harus bertangungjawab melibatkan pemain, pengurus dan semua individu. Kami terluka tetapi harus mara ke depan dan menghadapinya.

"Saya tidak lagi rasakan tekanan. Mengapa? Saya sentiasa berkata bahawa pihak kelab menghormati tugas saya dan ia memang begitu. Saya tiada rungutan terhadap pengurus atau pihak pengurusan."