Ernesto Valverde memuji aksi Lionel Messi selepas pemain bintang itu membantu Barcelona mengatasi Manchester United untuk melangkah ke separuh akhir Liga Juara-Juara (UCL).

Messi menjaringkan dua gol dalam separuh masa pertama dan Philippe Coutinho melengkap kemenangan 3-0 (4-0 secara agregat) ke atas United di Nou Camp, awal pagi tadi

Ia merupakan jaringan pertama Messi di peringkat suku akhir sejak April 2013 dan Barca melangkah ke pusingan separuh akhir untuk bertemu di antara Liverpool atau Porto.

Pengurus skuad Catalan itu gembira dengan persembahan Messi yang meledak 45 gol dalam semua kejohanan musim ini.

"Messi sentiasa menghadirkan aksi terbaik," kata Valverde.

"Dia menjaringkan gol dan membantu menggerakkan jentera serangan pasukan."

Barca mara ke separuh akhir sebagai pasukan pilihan untuk menjuarai gelaran UCL yang keenam.

Bagaimanapun, Valverde mahu pasukannya mengutamakan perlawanan seterusnya untuk mara ke final di Wanda Metropolitano, 1 Jun ini.

"Kami telah melepasi dua perlawanan. Kami mahu meneruskan momentum ini untuk perlawanan seterusnya, tiada pasukan pilihan dalam kejohanan ini."