Ketua jurulatih Barcelona, Ernesto Valverde, menjangkakan perlawanan sukar yang mencuri tumpuan ketika pasukannya berdepan Manchester United dalam suku akhir Liga Juara-Juara Eropah bulan depan.

Keputusan undian suku akhir kelmarin menyaksikan Barca diundi untuk berdepan United bagi mengimbau perlawanan final edisi 2009 dan 2011 di mana skuad Catalan itu memenangi kedua-dua perhitungan tersebut di bawah kendalian Pep Guardiola.

United, yang bergelut dengan kecederaan pemain, menterbalikkan defisit 2-0 untuk menyingkirkan Paris Saint-Germain (PSG) dengan pasukan Liga Perdana Inggeris itu terus meningkat di bawah kendalian Ole Gunnar Solskjaer.

Barca pula membelasah Lyon 5-1 untuk ke suku akhir buat musim ke-12 berturut-turut biarpun diikat 0-0 oleh lawan dari Ligue 1 itu dalam perlawanan pertama.

Dua perlawanan suku akhir bulan depan itu akan menjanjikan aksi menghiburkan dengan skuad kendalian Valverde itu sudah kembali ke landasan tepat bagi memburu kejuaraan 'treble' musim ini.

Barca kini mendahului carta LaLiga selain mereka juga akan berdepan Valencia dalam final Copa del Rey, Mei ini.

Bagaimanapun, Valverde tidak akan mengambil mudah pertemuan dengan United, yang kini di tangga kelima Liga Perdana Inggeris selepas tewas 0-2 kepada Arsenal hujung minggu lalu.

"Ia sukar, namun kami tahu setiap lawan yang diundi di peringkat suku akhir Liga Juara-Juara pasti akan memberikan kesukaran.

"Kesemua pasukan meletakkan harapan yang tinggi dan mereka sememangnya layak untuk berada di sana," kata Valverde mengenai keputusan undian itu.

"United merupakan sejarah Eropah, pasukan bertaraf dunia, sama seperti kami, jadi ia akan menjadi pertembungan yang menarik dan sukar.

"Mereka telah meraih beberapa keputusan yang hebat, jadi ia merupakan perlawanan yang amat terbuka di mana kedua-dua pasukan boleh menang.

"Mereka meraih keputusan yang baik di PSG, jadi kami perlu berwaspada.

"Mereka tidak mengaku kalah walaupun dibebani dengan kecederaan pemain (ketika menentang PSG).

"Pemain utama mereka akan kembali memperkuatkan pasukan, jadi kami perlu bersedia tentang itu," tambahnya.

Barca akan bertandang ke laman Real Betis bagi aksi LaLiga, awal pagi esok, sebelum waktu rehat antarabangsa.