Presiden Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Hamidin Mohd Amin, mengingatkan pasukan Liga Malaysia mengenai pelaksanaan Sistem Kawalan Ekonomi (ECP) sebelum menandatangani kontrak pemain baru musim depan.

Peringatan itu bagi memastikan kajian terhadap struktur kewangan pasukan terlebih dahulu dilakukan memandangkan ECP, yang bakal diperkenalkan secara berperingkat bermula musim depan, adalah formula terbaik dalam usaha memastikan masalah bebanan hutang pasukan dapat ditangani.

Hamidin meminta setiap pasukan bersedia dengan pelaksanaan ECP dan penerangan oleh wakil perunding ECP, PricewaterhouseCoopers Risk Services Sdn. Bhd, pengelola Liga Sepanyol, La Liga, dan MFL dalam taklimat yang dijadual berlangsung pada 15 November ini.

"Kami serius dalam membantu pasukan menguruskan kewangan dengan lebih baik supaya masalah hutang yang sebelum ini membelenggu kebanyakan pasukan dapat diatasi bersama. Penelitian struktur kewangan adalah penting sebelum menandatangani kontrak pemain baru untuk saingan musim depan.

"Ia kerana kontrak yang ditandatangani itu bakal membawa kesan kepada pasukan dalam mematuhi ECP tahun seterusnya. Pasukan boleh berhubung dengan MFL jika ada sebarang pertanyaan selain taklimat yang akan diberikan nanti," katanya seperti dipetik dalam kenyataan MFL, hari ini.

Pelaksanaan ECP secara menyeluruh dan lebih ketat akan bermula pada musim 2021.

"MFL akan bertegas dalam pelaksanaan ini yang sudah dirancang sejak sekian lama untuk dijadikan asas kepada kestabilan masa depan bola sepak Malaysia seiring dengan pelaksanaan program Next50 MFL,” tambah Hamidin.

Negeri Sembilan, Pahang, Kelantan, PJ City FC dan Johor Darul Ta'zim (JDT) antara pasukan yang telah bertemu MFL bagi memberikan pandangan dan maklum balas berkenaan ECP, menurut kenyataan itu.

ECP telah dilaksanakan dalam La Liga pada 2012 dan pelaksanaan itu telah berjaya menghapuskan bebanan hutang pasukan bertanding sebanyak €90 juta (RM422.87 juta) pada tahun tersebut kepada sifar dalam tempoh lima tahun.

Kesan daripada pelaksanaan ECP juga menyaksikan pasukan La Liga kini berbelanja mengikut kemampuan kewangan mereka.

-- BERNAMA