United masih jauh ketinggalan -- Solskjaer

Oleh Staff Writer 17 April 2019 5454
United masih jauh ketinggalan -- Solskjaer
Ole Gunnar Solskjaer mencadangkan masa diperlukan Manchester United untuk mencapai tahap yang sama seperti Barcelona selepas tersingkir daripada Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

Dua jaringan daripada Lionel Messi dan gol Philippe Coutinho melengkapkan kemenangan 3-0 Barca di Nou Camp dalam aksi timbal balik untuk gergasi LaLiga itu mara ke separuh akhir menerusi agregat 4-0.

Ia merupakan kekalahan terbesar yang dialami United dalam dua aksi peringkat kalah mati dan mereka kini sudah gagal ke peringkat seterusnya dalam tempoh lapan tahun.

Kekalahan itu juga merupakan yang kelima daripada tujuh perlawanan buat United di tempat lawan -- pertama kali yang perlu dihadapi sejak 1999, kali terakhir ketika Solskjaer bermain untuk kelab itu.

Bercakap dalam sidang media selepas tamat perlawanan, Solskjaer mengakui pasukannya masih jauh ketinggalan untuk mencabar pasukan elit benua ini.

"Kami telah beraksi dengan baik untuk ke peringkat ini dan perbezaan di antara kedua-dua pasukan jelas dapat disaksikan -- kualiti sentuhan penyudah mereka sangat menakjubkan," kata Solskjaer.

"United bermula dengan baik. Kami berpeluang untuk mencipta jaringan sebelum mereka meledak dua gol. Kami menyedari kami berdepan pasukan yang berkualiti.

"Terdapat banyak ruang yang perlu diperbaiki. Saya telah memberitahu sebelum ini, perubahan tidak mampu dilakukan dalam tempoh yang singkat. Beberapa tahun lagi diperlukan untuk United setaraf dengan tahap Barcelona sekarang."

Solskjaer akan kembali ke Old Trafford dengan misi untuk menamatkan saingan dalam kelompok empat terbaik Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika saingan berbaki lima perlawanan.

"United telah mempamerkan persembahan terbaik sejak saya mengambil alih pasukan ini. Kami akan kembali ke England untuk bersaing merebut slot empat terbaik dan kami dalam proses meningkatkan semula tahap pasukan ini. Ia akan bermula musim panas ini."
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen