MANCHESTER UNITED 2 TOTTENHAM 1

Alexis Sanchez mengakui bergelut sejak menyertai "kelab besar" Manchester United dari Arsenal pada Januari lalu tetapi mahu membalas kepercayaan Jose Mourinho selepas menjadi inspirasi kepada kemaraan pasukannya ke final Piala FA.


Sanchez, yang dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan, menyamakan keududukan pada minit ke-24 menentang Tottenham di Wembley awal pagi tadi, sebelum Ander Herrera menjaringkan gol kemenangan 2-1 dalam babak kedua.

Menjadi perhatian umum ketika menyertai United dalam jendela perpindahan lalu, pemain antarabangsa Chile itu hanya menjaringkan dua gol dalam sembilan penampilan Liga Perdana Inggeris untuk majikan barunya itu.

"Sebenarnya, sangat sukar bagi saya, datang ke sebuah kelab besar," katanya. "Ia mengubah segala-galanya. Jadi, hari ini saya sangat gembira untuk pasukan, gol dan karakter yang kami tunjukkan sepanjang perlawanan."

Mourinho mencabar Sanchez untuk meneruskan aksi konsisten bagi membawa corak permainannya ke tahap yang lebih tinggi selepas menewaskan Spurs dan pemain berusia 29 tahun itu mendedahkan bahawa mereka mengambil masa untuk menyesuaikan diri dengan hubungan kerja baru.

"Dia seorang jurulatih yang menuntut banyak dan apabila kami kalah, dia akan sangat marah," kata Sanchez yang merujuk kepada kekecewaan Mourinho ketika tewas 1-0 kepada West Brom dalam Liga Perdana Inggeris hujung minggu lalu.

"Kami memerlukan permintaan seperti itu untuk menghasilkan aksi terbaik. Dia minta saya memainkan peranan bebas, menikmati aksi saya, menyerang, bertahan -- untuk melakukan segala-galanya!

"Sukar untuk musim ini, saya fikir tahun depan, kami perlu mendapatkannya. Ini adalah perubahan yang sukar untuk saya. Jurulatih memberitahu saya bahawa dia tidak mahu membawa masuk pemain pada Januari.

"Ia satu tuntutan tetapi kami berharap dapat memenangi perlawanan akhir. Saya datang ke sini untuk memenangi segala-galanya tahun depan dengan pasukan dan dengan jurulatih ini."

Tandukannya yang gagal dicapai penjaga gol, Michel Vorm, hasil umpanan silang Paul Pogba itu bermakna Sanchez kini mengumpul lapan gol di stadium kebangsaan England itu dalam pelbagai penampilan, sama ada untuk kelab atau negara.

"Ia membawa tuah, saya menjaringkan banyak gol di sini ketika Chile menentang England, dengan Arsenal dan sekarang Man United. Kini, saya tidak sabar untuk bermain dalam perlawanan akhir," katanya.

"Ia bagus dapat menang bersama Arsenal, dan kini dengan United. Saya mahu aksi lebih lagi daripada saya setiap hari dan saya gembira dengan perlawanan ini.

"Ia adalah hantaran hebat daripada Pogba. Ketika bola di udara saya mahu mencari 'far post' tetapi kemudian saya melihat penjaga gol datang dengan cara lain. Jadi, saya ubah ke 'near post'."