Bayern Munich akan didakwa Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) gara-gara tindakan penyokongnya mengibarkan sepanduk haram yang mengkritik penggunaan video bantuan pengadil (VAR) ketika mereka disingkirkan Liverpool dalam pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah, kelmarin.

Penggunaan teknologi itu mendapat tentangan daripada peminat bola sepak Jerman dan penyokong Bayern meluahkan kekecewaan mereka dalam perlawanan di Arena Allianz itu.

Sepanduk tersebut tertulis "Bola sepak moden membunuh emosi" dan disertai dengan kata-kata makian terhadap VAR dan UEFA.

Bayern turut akan didakwa dengan kesalahan 'pelanggaran kit' selepas Leon Goretzka memakai baju yang salah dalam perlawanan kedua pusingan 16 itu.

Pemain tengah itu, yang masuk sebagai pemain gantian dalam babak kedua, memakai jersi Bayern dalam liga domestik, Bundesliga, yang tertera logo Qatar Airways dan T-Mobile.

Artikel 21 UEFA memperuntukkan peraturan setiap pasukan tidak boleh mengiklankan lebih daripada satu penaja utama di baju dalam kejohanan peringkat Eropah.

Dua kes tersebut akan menjalani sesi pendengaran dengan Badan Pengawal, Etika Dan Disiplin UEFA pada 16 Mei depan.